Friday, February 17, 2017

Ao Haru Ride

ini komik kedua  yang aku baca. Komik ini lebih pendek hanya 49 chapters. Ia adalah kisah percintaan remaja sekolah. Seronok pula membaca komik kan. Maklumlah selepas berpuluh tahun hidup atas dunia ni baru sekarang baca komik. 😂

Kisah komik ini ringkas  saja tentang seorang remaja perempuan bernama Yoshioka Futaba. Seorang gadis yang comel dan menarik namun berpewatakan unladylike. Dia juga mempunyai dua orang rakan  baik.

Alkisahnya si Futaba pernah menyimpan perasaan kepada rakan lelakinya semasa di jr high school - Tanaka Kou. Namun sebelum sempat meluahkan perasaan, Tanaka kun telah berpindah. Sejak itu Futaba seolah-olah menjauhi lelaki. Kecewalah ni.

Konflik bermula bila Seorang pelajar baru berpindah ke Sekolahnya. Pelajar itu kelihatan seperti Tanaka kun. Tetapi mempunyai nama berbeza iaitu Mabuchi Kou. Dalam masa yang sama Futaba bergaduh dengan dua orang Rakan baiknya bila Futaba menegur mereka dan mempertahankan seorang lagi rakan sekelas.

Akibatnya mereka tidak berkawan lagi. Futaba rasa sangat tertekan dan sunyi. Dia akhirnya cuba berbaik-baik semula dengan rakan-rakannya semula tetapi tidak diendahkan. Kou melihat Futaba sebagai seorang pathetic.

Pada penggal persekolahan yang seterusnya, Futaba ditempatkan satu kelas dengan Kou. Ini mengubah kehidupannya. Di kelas baharu itulah Futaba belajar erti persahabatan, percintaan dan merasai keseronokan hidup sebagai pelajar sekolah. Malah dia juga berjaya mengatasi masalah inferior complex yang dihadapinya.

Siapa Mabuchi Kou? bacalah sendiri 😜 i wont steal the excitment from you all.

Komik yang ringan sahaja. Jalan cerita pon mudah dijangka.,tapi seronok dibaca. Lukisan pun comel-comel.

Wednesday, February 15, 2017

Dari Beirut ke Jerusalem

ini sebuah buku yang sangat baik. ia ditulis oleh seorang warga Singapura yang kini hidup dalam buangan di England. Dr Ang Swee Chai merupakan penerima anugerah (apa ntah lupa lak..) dari Malaysia di atas jasa bakti beliau dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestine. Beliau juga menerima pelbagai anugerah lain diperingkat antarabangsa di atas sumbangan beliau dalam membela nasib rakyat Palestine.

Pada asalnya Dr Ang merupakan seorang doktor perubatan yang sama seperti kebanyakkan orang yang lain. Yang melihat isu Palestine dari kaca mata media barat. Yang menyangka orang-orang Palestine adalah penjenayah. Sementara Israel adalah kumpulan yang teraniaya kerana berada ditengah-tengah negara-negara Arab dan perlu mempertahankan diri dari ancaman dan bahaya dari orang Palestine khasnya dan orang Arab amnya.

Namun pandangan ini berubah 100% selepas beliau mengikuti satu ekspedisi kemanusiaan di kem pelarian orang Palestine di Lubnan. Dr Ang menyaksikan sendiri penderitaan orang Palestine dan melihat sendiri kezaliman yang dilalui mereka, menyebabkan beliau tidak menoleh kebelakang dan sehingga hari ini menjadi penyokong kuat orang Palestine.

Beliau juga berpengalaman menyaksikan sendiri serangan ke atas kem Sabra dan Syatila di Lubnan. Yang mana dia terperangkap bersama-sama orang-orang Palestine di sana. terpaksa melakukan pembedahan demi pembedahan untuk menyelamatkan nyawa dalam keadaan hospital yang daif yang telah di bom. ubat dan darah sentiasa tidak mencukupi. Ini sangat menyayat hati Dr Ang.

Buku ini adalah catatan beliau mengenai pengalaman membantu orang-orang Palestine di Kem Sabra dan Shatila. juga pengalaman berhubung dengan polis dan tentera negara Arab  dan Israel untuk membantu orang Palestine.

Membantu orang Palestine tidak mengubah agama Dr Ang. beliau tetap kekal seorang Kristian yang taat. Isu Palestine bukanlah isu agama. Ia adalah isu kemanusiaan. Jika pada binatang dan hutan kita mampu menaruh simpati, manusiakah kita jika tidak kecewa dan simpati melihat manusia dikurung dan dibunuh sewenang-wenangnya?

pendapat saya lah
:Ketahuilah negara-negara Arab itu bukanlah rakan orang Palestine. Syria, Lubnan, Mesir.... tiap tgn kepala kerajaan mereka ada darah orang Palestine. Satu-satunya pemimpin negara Islam yang konsisten dalam memperjuangkan nasib Palestine yang saya ketahui ialah Tun Dr Mahathir, bekas PM kita. Sebab itulah sewaktu Yasser Arafat diserang dan terkurung dipejabat beliau, Tun Mahathir adalah pemimpin pertama yang dihubunginya untuk meminta tolong.

Tuesday, February 14, 2017

Puisi Zaman Jepun

Aku terjumpa buku ni waktu belek-belek buku di PNM. Buku kecil ini menarik perhatian aku. Ia diterbitkan pada tahun 1978 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan diselenggara oleh Pyan Hussain dan Ismail Ahmad. Sumpah aku tak tahu siapa.

Terdapat satu catatan ringkas pada buku ini yang berbunyi "Pada mereka yang menulis pada zaman ini, sama ada puisi-puisi mereka ditemui atau tidak, melalui kumpulan ini kami iringi ingatan abadi" Sayukan bunyinya.

Puisi zaman jepun banyak diterbitkan dalam majalah yang menyokong aliran Jepun seperti Berita Malai, Semangat Asia, Fajar Asia, Sinaran Matahari dan Suara Timur. Puisi-puisi yang dikumpulkan ini juga bersuara Jepun dan menyokong pendudukan Jepun di Malaya. Puisi propaganda.

Kumpulan puisi ini mengumpulkan 105 puisi antaranya ialah:
1. Dua Ribu Askar Menempuh Lembah Kematian Di Pulau Attu
2. Lengkongan Kemakmuran Bersama Di Asia Timur Raya
3. Permenungan Di Tengah Malam
4. Mendiang Laksamana Koga
5. Peperangan Asia Timur Raya
6. Singgalang Yama
7. Fajar Menyinsing
8. Kuat Sebagai Besi Waja
9. Bermenung
10. Hiduplah Malai Baru

Menurut Dr Mohammad Haji Salleh dan Drs Li Chuan Siu puisi zaman Jepun adalah pelopor kepada Puisi Moden Melayu.

Namun begitu terdapat juga beberapa puisi yang bersifat kebangsaan yang sembunyi-sembunyi Antaranya ialah:
1. Tanahairku
2. Di Atas Runtuhan Melaka Lama
3. Bahasa dan Bangsa
4. Ibarat Kebangsaan
5. Kenang-kenangan
6. Sinar Bahagia
7. Oh Bangsaku Di Muar

Mari aku belanja sajak dari buku ini satu atau dua, ikut rajin tangan menaip.

I Kenang-Kenangan (karangan Ros Melaka bertarikh 10/09/1942)

Ayuhai kaum umat Melayu
Lelaki perempuan semua diseru
Kecil besar lama dan baru
kaya miskin dikira satu

Ke seluruh Malaya seruan dihala
Kepada umat Melayu kita utamakan
Buat memimpin sekelian rakan
Moga-moga Kelak menjadi peringatan

Perasaan dengki harus dihapuskan
Tamak dan loba patut dijauhkan
Kerana ini punca keburukan
Tiada pula mendatangkan kebajikan

Ayuhai kaum di Malaya negeri
Lelaki perempuan muda bistari
Marilah kita bersatu hati
Majukan perniagaan bangsa sendiri

Inilah kali mula dibilangkan
Sinaran Matahari mula diterbitkan
Di negeri Melaka tempat pilihan
untuk bacaan kaum dan rakan

Patutlah kita bersatu fikiran
Mendoa umurnya kelak berpanjangan
Untuk memuhukan masa kelapangan
Supaya kelak menjadi kenang-kenangan

II Bahasa dan Bangsa (hasil karangan Muhammad Hassan Abdul Wahab bertarikh 24 Ogos 1942)

Dari mana dikenal bangsa
Ialah dari rupa bahasa
Dijunjung tinggi sepanjang masa
Kerana ia bertimbang nusa

Dengan bahasa bangsa berjaya
Dipandang tinggi serta mulia
Jika kita mencuaikan dia
Bangsa kita akan terpedaya

Oleh bahasa bangsa ternama
Disegani orang tidak percuma
Segala perkataan mahu saksama
Bahasa yang baik kita utama

Bahasa juga memegang kuasa
Buat mencemarkan nama bangsa
Jika kita buruk bahasa
Akhirnya kelak kita tersia-sia

Bahas boleh melemahkan pedang
Menewaskan musuh yang masih gadang
Bahasa pula bukan kepalang
Patutlah kita menaruh pandang

Oh bahasa, kamulah senjata
Kepada kamu aku bercinta
Dengan kamu aku meronta
Buat menjaga bangsa dan nusa

**bila kenangkan nasib bahasa Melayu hari ini sedih rasanya. seronokkah menjual bangsa?

Transformasi Nasional 2050

Saya yakin ramai antara kita tidak memahami apa itu Transformasi Nasional 2050  atau  lebih  popular dengan singkatan TN50.  Kebetulan saya memperolehi slaid TN50 dari seorang kenalan di Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

TN50 adalah cetusan ilham dari PM Najib sebagai kesinambungan kepada Wawasan 2020.  Saya  tanyakan  pada seorang rakan di JaPen Sabah apakah gagasan dalam TN50 nih? Rakan saya jawab "Belum  ada  lagi, yang aku tahu TN50 adalah kesinambungan kepada Wawasan 2020"

Selepas beberapa kali membaca slaid ini dan juga perbincangan pendek dengan rakan saya tadi makanya berikut adalah kesimpulan kami: 

1. TN50  adalah kesinambungan kepada Wawasan 2020 (jangan ketawa, baca sampai habis)
2. TN50 bukanlah gagasan (belum lagi) ia masih diperingkat perancangan, pengumpulan data dan penghasilan blueprint atau dokumen
3. Perancangan blueprint ini melibatkan rakyat Malaysia berusia 15 hingga40 tahun.  Kalau rasa umur da lebih tak payah lah susah2 bagi idea.  Blueprint  ini  mendengar  luahan  hati  org  muda!
4.TN50 ada 4 teras gerak kerja untuk penghasilan dokumen blueprint iaitu
           a. Pengumpulan data
           b. Melaksanakan program menarik
           c. Buat pelan media
           d. Penjenamaan.
dan ini semua akan dijalankan dalam tempoh 1 tahun.
5. TN50 juga ada 10 topik yg mahu dibincangkan dengan generasi muda iaitu:
           a. Pendidikan
           b. Sukan dan seni budaya
           c. Hub. Luar
           d. Sains dan tech
           e. Politik
           f. Agama dan perpaduan
           g. Kesejahteraan bandar
           h. Kos sara hidup
           i. Alam sekitar, dan
           j. Sosioekonomi.
Oleh itu jika anda ada saranan atau idea utk dikongsikan, tunggu dan kongsikan  idea  anda  nnt  di  jerayawara  TN50.
6.  Dihasratkan  TN50 akan capai 3 hasil utama menjelang hujung tahun 2017 iaitu:
          a. Menyediakan dokumen akhir
          b. Wujudkan feel good factor, dan
          c. Menyediakan data analisis

Kesimpulannya TN50 ini akan dilancarkan pada 2020, selepas berakhirnya W2020.  Kira-kiranya  awal  tahun 2017 hari tu PM cuma buat softlaunch saja. 🤣😂. 

Kenapa dilancarkan benda yang belum ada? Sbb PM nak dengar suara orang muda dalam merangka dasar untuk negara. Itulah kata org JaPen.

Ini kesimpulan saya secara peribadi. Anda mungkin mempunyai pandangan berbeza, Juga mungkin boleh memperbetulkan jika saya salah faham. Jadi sini saya kongsikan slaid TN50 tersebut.











Puisi-Puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang

Selepas menulis pasal Yang Nakal-Nakal aku teringat sebuah buku yang pernah aku baca. Puisi -Puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang. Buku ini buku lama, diterbitkan pada tahun 1987 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Terdapat 133 sajak karangan Usman Awang dimuatkan dalam antologi puisi ini. Hasil tulisan beliau dari tahun 1949 hingga 1984.

Buku ini juga memuatkan satu artikel tulisan Muhammad Hj Salleh bertajuk Usman Awang: Pemula dan Penyambung. Menurut artikel ini ada tiga unsur yang menjadikan Usman Awang penyair yang penting dalam perkembangan puisi Malaysia;
1. pemikirannya yang peka terhadap masalah yang dihadapi rakyat terbanyak;
2. puisinya berjejak pada tanah subur kesusasteraan tradisional; dan
3. cara Usman Awang melentur bahasa Melayunya dari merdu pantun hingga ke sinis kota

Selain itu turut dimuatkan Laporan Panel Anugerah Sastera tahun 1983 laporan yang melayakkan Usman Awang mendapat anugerah Sasterawan Negara. Dalam laporan ini juga menyentuh tentang kehebatan Usman Awang bermain dengan kata dan prosa bahasa Melayu.

Menurut laporan ini, konsep puisi Usman Awang sangat bergantung kepada prinsip bahawa bahasa bersopan santun, berukur dan harus terkawal. Citarasanya yang halus pula akan mampu membimbing penyair untuk mencapai bahasa yang dianggap unggul itu.

Antara sajak yang dimuatkan dalam buku ini ialah:
1. Balada Terbunuhnya Beringin Tua Dipinggir Bandaraya
2. Surat Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar
3. Beli Buatan Malaysia
4. Surat Dari Pusara
5. Malam Di Balai Budaya
6. Anak Jiran Tionghua
7. Gadis Di Kuburan
8. Jiwa Hamba
9. Pelacur Tua
10. Ke Makam Bunda
11. Keranda 152
12. Dato' Onn

Mari sini nak belanja salah satu (banyak sgt yg suka) sajak yang paling aku suka dari antologi ini.

Politik

Bertapa kita boleh dipisahkan?
Langit tua dan sejarah yang hitam,
Dunia kita yang saling bertentangan,

Siapa di antara kita yang dituduh pengkhianat?
Siapa pula yang nanti mengukur hakikat,
Sedang manusia serba lemah kesempurnaan kudrat?

Bertapa persaudaraan telah musnah dan jahanam,
bukan sekadar kata carik-carik bulu ayam,
Kerana kesucian tujuan ditangan manusia terhumban,

Hitunglah sejak  Adam meninggalkan syurga,
Berapa zaman sudah memagut usia dunia,
Kita semakin jauh hanyut dalam arus sengketa,

Manusia seperti bintang-bintang bertebaran dilangit,
Dunia serupa bulan bulat sekadar satu cuma,
Mengapa kita kehilangan daya membancuh warna,
Seperti bintang mengilau cahaya ke bulan purnama?

Berlagulah diserunai hayat yang senafas hirup,
Nyanyian persaudaraan dalam batin yang harus hidup,
Meski antara kita faham-faham berlainan terpaut.

1959

Monday, February 13, 2017

Hadiah PM Najib untuk rakyat

Tajuk yang menarik. Buku ini diterbitkan oleh Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia. Ia memberikan maklumat mengenai usaha dan kerja-kerja yang telah dilaksanakan oleh PM Najib untuk rakyat.

Buku ini saya dapat pada tahun 2014 ketika melawat seorang rakan di JaPen. Buku yang menarik untuk dibaca. (Melihat kepada suasana kacau dalam arus politik negara, saya ada sedikit nasihat) Ilmu harus ditambah bukan dikongkong dengan sebab-sebab yang mengikut rasa hati. (Oleh itu, bacalah, ia membantu menjernihkan pengetahuan kita. Yang baik jadi tauladan, yg buruk jadi sempadan).

Antara cerita kejayaan PM Najib yang di masuk kan dalam buku ini ialah rancangan2 di bawah Gagasan 1 Malaysia seperti:
1. Bantuan Rakyat 1 Malaysia
2. Klinik 1 Malaysia
3. Bantuan Baucar Buku 1 Malaysia
4. 1 Malaysia For Youth
5. Yayasan 1 Malaysia
6. Kedai Kain 1 Malaysia
7. Bantuan Persekolahan RM100
8. Kedai Rakyat 1 Malaysia
9. Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia
10. Menu Rakyat 1 Malaysia
11. Kebajikan Rakyat 1 Malaysia
12. Taska 1 Malaysia
13. Program Susu 1 Malaysia
14. Tuisyen Rakyat 1 Malaysia
15. Bantuan Tayar 1 Malaysia
16. Pasar Bergerak 1 Malaysia
17. Kedai Makan Asnaf 1 Malaysia
18. Projek Perumahan 1 Malaysia
19. Dan banyak lagi program 1 Malaysia yg lain yang tak larat disenaraikan lagi.

Selain itu disenaraikan juga kejayaan Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) terutama dalam bidang pendidikan seperti:
1. Penubuhan Majlis Professor Negara
2. My Brain 15
3. Perlaksanaan Sekolah Berprestasi Tinggi, dan
4. Permata Negara, juga
5. Penubuhan Suruhanjaya Integriti
6. Penubuhan mahkamah khas rasuah
7. Penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
8. UTC & RTC
9. Program 1AZAM

Terdapat juga projek ekonomi gergasi seperti:
1. TRX
2. FGVH

Buku ini juga menyentuh serba sedikit tentang latar belakang PM Najib. PM Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953. Merupakan anak sulung kepada PM kedua Malaysia, Tun Abdul Razak. Beliau berkelulusan ijazah dalam Ekonomi Perindustrian dari Universiti Nottingham, England.

Kerjaya politik PM Najib bermula pada tahun 1976 setelah dilantik menggantikan ayahnya di kerusi Parlimen Pekan selepas kematian Tun Razak. Kerjaya politik beliau terus berjalan lancar sehingga dilantik sebagai TPM pada tahun 2004 dan seterusnya sebagai PM Malaysia pada tahun 2009.

Sedikit nota
- ketika Buku ini ditulis hubungan PM Najib dengan mantan TPM Muhyiddin masih baik. Jadi Buku ini dipenuhi dengan wajah mereka berdua.

Sunday, February 12, 2017

Yang Nakal-Nakal

Sebuah antologi cerpen Usman Awang oleh penerbit indie. Cubaan untuk menunjukkan sisi nakal karya Sasterawan Negara kita. Memang ada beberapa karya Usman Awang yang nakal tetapi tetap sopan dan dengan bahasa  dan budaya Melayu yang kuat. Cerpen Usman Awang sentiasa segar, tajam dan ideal.

Yang nakal-nakal menghimpunkan 17 cerpen dan 8 sajak Usman Awang. Antaranya ialah Betisnya Bunting Padi, Koktel, Pertemuan dan Budi. Menurut penerbit Buku ini, cerpen yang diterbitkan mereka bukanlah karya bercitra murni atau karya sastera yang digunakan untuk subjek sastera di sekolah. (Saya tidak tahu kalau2 ini ayat orang meniaga 😊- maklumlah generasi muda hari ini suka terlihat berbeza dan berada disisi kiri jalan)

Jika anda biasa membaca karya Usman Awang, carpen-cerpen yang disajikan dalam buku ini tidaklah asing. Ia cerpen dan sajak yang kerap diulang cetak oleh DBP dalam antologi-antologi cerpen Usman Awang.

Apa yang menarik dalam carpen tulisan Usman Awang adalah gaya bahasa yang digunakan dan pembendaharaan kata yang tinggi. Saya kira ia karya yang perlu dirujuk oleh ramai penulis muda hari ini. Ia harus dijadikan sebagai panduan dan penanda aras.

Bagi saya tiada karya Usman Awang yang picisan. Yang nakal seperti ditajukkan pada antologi ini memang ada. Itulah yang menjadikan Usman Awang sasterawan kita yang penuh warna. Beliau bukan sekadar menulis karya sastera tinggi, kisah biasa-biasa pun ditulisnya, tetapi bila dibaca, kita terpesona dan hanyut dalam tulisan beliau. Itulah karya sastera.

Satu lagi yang perlu dipelajari oleh penulis muda ialah pemilihan tajuk karya. Saya sudah bosan dengan novel bertajuk 'Si Tongong Itu Suamiku' atau 'Kekasihku Bodoh-Bodoh Alang'. Begitu juga dengan subjek yang diutarakan. Sudah-sudahlah dengan kisah kahwin paksa atau jatuh cinta selepas kahwin atau cerita-cerita datuk datin serta dunia korporat khayalan yang penuh imaginasi.

Cuba lihat cerpen Usman Awang, subjek yang diutarakan sangat pelbagai. Dari perihal.rakyat kecil hingga kepada urusan pemimpin negara. Dari kisah masyarakat kampung berkelahi kepada hal  perpaduan kaum dalam negara. Juga kisah nasib si penoreh getah, nasib polis berpangkat rendah sampai nasib banduan ISA juga dijadikan subjek karya. Tak cukup memperjuangkan  manusia nasib haiwan dan pokok juga ditulis oleh Usman Awang. Belajarlah.

Bagus dan saya sangat suka bila karya Usman Awang diterbitkan semula. Ia memberi peluang penulis muda belajar apa itu karya bermutu tinggi. Bakat saja kadang-kadang tidak cukup. Ilmu itu penting. Selain memberi peluang kepada rakyat Malaysia membaca karya yang bermutu dan baik.

Mungkin boleh difikirkan untuk menerbitkan semula antologi sajak Usman Awang yang sangat banyak itu. Antologi sajak beliau kini tiada dipasaran, hanya boleh dibaca diperpustakaan. 😭.

P/s Al-Fatihah buat allahyarham Dato' Usman Awang.

Saturday, February 11, 2017

Naruto



Komik pertama aku baca. Di Jepun ia lebih terkenal sebagai manga. Bagi ramai peminat kartun Naruto memang terkenal sebab itulah terdapat beberapa siri kartun Naruto telah dihasilkan. aku bukan seorang peminat kartun atau komik. Aku terjumpa Komik ini secara tidak sengaja di applikasi hp. Alang-alang da jumpa aku baca.

Ternyata Naruto adalah sebuah karya yang istimewa dengan jalan cerita dan imaginasi yang hebat. Patutlah ia sangat popular. Kisah ini diangkat dari cerita rakyat 'musang ekor sembilan' digarap dalam cerita ninja dan diselitkan dengan kisah pengorbanan, kesetiaan, persahabatan, dan percintaan. Aku kagum dengan Masashi Kishimoto dari mana dia boleh dapat idea mengarang kisah Naruto.

Kisah bermula mengenai seorang kanak-kanak yang dipulaukan oleh seluruh kampung (Kanoha) tanpa sebab-sebab yang wajar. Dia membesar menjadi kanak-kanak yang nakal dan suka mengenakan orang. Ini menyebabkan seluruh kampung semakin membencinya. Dia juga merupakan pelajar paling bodoh dikelas dan sering gagal dalam ujian. Ini menyebabkan dia tidak dapat masuk ke Akademi shinobi.

Namun begitu Naruto disayangi oleh guru kelasnya - Sensei Iruka Umino.

Satu hari Naruto telah diperdaya oleh Sensei Mizuki untuk mencuri satu skrol penting di rumah ketua kampung (hokage). Dia diberitahu skrol tersebut membolehkannya lulus ujian masuk akademi shinobi. Kerana terlalu ingin menjadi shinobi, Naruto telah mencuri skrol tersebut dan berlatih satu ilmu didalamnya. (Naruto hanya mampu belajar satu jutsu sahaja 😜).

Peristiwa Naruto mencuri di rumah hokage tersebar dan semua shinobi (ninja elit) dikerah mencari Naruto dan skrol tersebut. Sensei Iruka telah berjaya menemui Naruto dan menerangkan kepada Naruto bahawa itu adalah skrol berbahaya serta di dalam terdapat jutsu terlarang. Tiba-tiba  mereka telah diserang oleh Sensei Mizuki dan Iruka cedera ketika cuba menyelamatkan Naruto. Sensei Mizuki kemudian memberitahu Naruto bahawa dia adalah musang ekor sembilan dan telah membunuh ibubapa Sensei Iruka, ini menyebabkan Naruto ketakutan dan melarikan diri.

Namun Sensei Iruka yang tidak putus asa  akhirnya berjaya, memujuk Naruto. Naruto pula yang telah mahir teknik Kage Bunshin No Jutsu telah menewaskan Sensei Mizuki. Naruto akhirnya lulus ujian dan berjaya masuk ke akademi shinobi.

Di akademi shinobi Naruto diletakkan di bawah  seliaan Sensei Kakashi Hatake, seorang shinobi yang kuat  dan terkenal tidak pernah meluluskan mana-mana murib di bawah seliaannya  disitu Naruto dikumpulkan bersama Sasuke Uchiha dan Sakura Haruno.

Naruto suka pada Sakura, sementara Sakura pula suka pada Sasuke. Konflik cinta remaja 😁. Namun begitu Sasuke adalah seorang yang pelik. Dia merupakan pelajar terpandai dikelas, kacak dan tidak suka bergaul. Personaliti yang amat berbeza dari Naruto. Sasuke menyimpan satu rahsia dan dendam  yang besar, dia merupakan keturunan Uchiha terakhir yang hidup dalam peristiwa pembunuhan  seluruh keturunan Uchiha. Pembunuh Uchiha tersebut ialah abang kandung Sasuke sendiri iaitu Itachi Uchiha.

Sakura pula tidak punya banyak konflik hidup seperti Naruto dan Sasuke, kecuali dia terlalu cintakan Sasuke dan terlalu menyampah dengan sikap bodoh dan terburu-buru Naruto. Sementara Kakashi juga menyimpan rahsia dan rasa bersalah menyebabkan kematian dia rakan baiknya.

Kisah Naruto berkisar mengenai 4 orang ini yang menguji nilai persahabatan dan kesetiaan. Jalan ceritanya juga dipenuhi dengan nasihat yang baik2. Jangan  mudah mengalah dan berusahalah jika anda yakin anda akan berjaya. Jangan pernah putus asa serta berbuat baiklah dengan semua orang, kebaikan pasti akan dibalas dengan kebaikan. Walaupun anda membuat kesalahan bertaubatlah, betulkan kembali kesalahan anda, jalan untuk kembali sentiasa ada. Yang penting jangan suka berdendam dan memaafkan itu lebih baik.

Komik ini ada 700 chapter dan aku ambil masa selama 2 bulan untuk menghabiskannya. Tetapi sangat berbaloi untuk dibaca. Masih merancang untuk membeli di Kinokuniya tapi harganya mahal, adoi!

Friday, February 10, 2017

Aku Ini Binatang Jalang



Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembusi kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Berlari hingga hilang pedih peri
Dan aku Akan lebih tak peduli
Aku mahu hidup seribu tahun lagi

Saya hafal sajak ini. Ini adalah petikan dari rangkap akhir sajak bertajuk "Aku" karya Chairil Anwar. Seorang penulis sajak Indonesia dari angkatan 45. Saya peminat habis -habisan Chairil Anwar dari kali pertama terjumpa dan terbaca sajak beliau di perpustakaan UMS pada tahun 2001.

Sejak itu saya sentiasa mengagumi sajak-sajak beliau, seperti mana saya menyanjungi sajak-sajak Usman Awang. Sayang nya Chairil Anwar mati muda, jadi kumpulan sajak beliau tidak banyak. Pada pendapat saya secara peribadi karya-karya Chairil amat bermutu. Saya yakin ramai lagi yang berkongsi pandangan  ini.

Bagi saya hingga kini beliau tidak ada tandingan walaupun dalam kalangan penyajak Indonesia hari ini. Saya ada baca sedikit sebanyak sajak dari penulis-penulis Indonesia semasa saya ke sana. Ada juga yang saya baca melalui internet. Boleh tahan. Tapi mungkin Chairil Anwar di hati Ku tiada tandingan. ✌️. Well Ann Mansyur boleh tahan juga, mereka berada dikelas tersendiri, tidak Advil jika dibandingkan.

Buku ini adalah kompilasi karya Chairil Anwar yang lengkap berbanding banyak lagi buku-buku beliau yang lain. Jika anda peminat sastera melayu/Indonesia saya kira anda perlu baca sajak Chairil Anwar, sajak-sajak beliau bebas dan tidak terikat dengan tatabahasa dan gaya penulisan dan nahu bahasa. Sajak beliau unik dan tersendiri.

Iya betul, saya pengagum Chairil Anwar. Titik.

"Kerna kau tidak Akan apa-apa
Aku terpanggang tinggal rangka"

Notes To The Prime Minister



Buku ini saya baca beberapa tahun yang lalu. Tapi bila tiba-tiba kes forex BNM meletup di media massa, saya teringat dan terfikir untuk menulis tentangnya. Dalam buku ini ada menyentuh tentang kes tersebut serta kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara pada ketika itu. Untuk nota, si perlaku telah meletakkan jawatan dari BNM selepas kerugian tersebut.

Saya pasti ramai yang tidak pernah baca buku ini. Namun saya tidak mahu bercerita perihal yang hangat dimainkan dikaca tv atau akhbar. Sebaliknya mahu memberi sedikit sinopsis buku dan pendapat peribadi.

Sejujurnya ini adalah buku yang bagus untuk belajar ilmu ekonomi. Lebih tepat untuk belajar ilmu dagangan mata wang dan untuk mengetahui Mengapa Kerajaan menentang arus dunia dan mengambil keputusan untuk menambat ringgit.

Kisah buku ini dimulakan dari cerita Tan Sri Nor Mohamed tentang bagaimana beliau dilibatkan oleh Tun Dr Mahathir, perdana menteri ketika itu untuk mencari kaedah bagi menyelamatkan ringgit dan ekonomi negara.

Menurut Tan Sri Nor Mohamed, semasa Tun Dr Mahathir dalam perjalanan ke Argentina beliau ternampak Tan Sri Nor sedang berjalan. Tun Mahathir terfikir mungkin Tan Sri Nor boleh  menerangkan kepada beliau tentang perdaganganan mata wang dan mungkin cara untuk menangani nya. Tun kemudian meminta setiausaha peribadi nya menghubungi Tan Sri Nor dan meminta beliau datang menemuinya di Argentina .

Untuk beliau pergi menemui Tun Mahathir bukanlah mudah. Sejam selepas  setiausaha Tun menghubunginya, Tan Sri Nor dihubungi pula oleh pegawai dari MOF yang menasihatkan beliau supaya tidak pergi berjumpa dengan Tun Mahathir di Buenos Aires . Tetapi selepas membuat pertimbangan akhirnya beliau terbang ke Argentina.

Sesampai di Argentina, Tun memberikan Tan Sri Nor masa selama dua jam untuk menerangkan tentang spekulator mata wang, bagaimana perdagangan mata wang dijalankan, tentang bagaimana mata wang dipinjam dan dijualkan, bagaimana Dana Boleh dipindahkan  dari sebuah negara ke negara yang lain dengan satu klik sahaja dan cara-cara untuk mengaut untung.

Selepas itu Tun Mahathir telah meminta Tan Sri Nor untuk menuliskan nota tentang segala yang mana dijelaskan itu dan harus diberikan kepada Tun pada keesokan paginya.  Itu adalah nota pertama dari Tan Sri Nor kepada Tun Mahathir.

Nota-nota seterusnya disediakan untuk Tun sehingga beliau mahir dalam selok belok perdagangan mata wang, menurut Tan Sri pertemuan di  Argentina telah membuka jalan kepada sesi beliau bersama Tun Mahathir secara berkala, serta meerkats berdialog hampir setiap hari. Walaupun ramai tidak bersetuju dengan cadangan beliau tetapi Tun Mahathir bertegas untuk mencuba cadangan yang diberikan oleh Tan Sri Nor Mohamed.

Menurut penulis buku ini, Wong Sulong, hasil dari nota-nota itu (ditambah pula Tun M adalah Pelajar yang rajin dan Bijak) PM nampak sangat tahu dan mahir tentang ekonomi semasa ditemubual oleh sebuah stesen tv bagi menjelaskan tentang spekulasi mata wang dan kenapa penambatan ringgit harus dilaksanakan oleh kerajaan. Saya juga salah seorang penonton ketika itu dan saya sangat setuju ✌️.

Menurut Tan Sri Nor, nota-nota tersebut disediakan secara percuma untuk Tun Mahathir 🤣. Saya tahu kenapa, sebab kerajaan tidak ade punca kuasa untuk bayar LO pada Tan Sri. LO tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya. Tan Sri ketika itu hanyalah penasihat ekonomi tidak rasmi kepada Perdana Menteri.

Saya yakin ramai yang tertanya-tanya bagaimana Tun Mahathir boleh terfikir yang Tan Sri Nor mampu membantunya menangani spekulator mata wang. Jawapannya ialah kerana Tan Sri Nor adalah salah seorang yang bertanggungjawab terhadap kerugian dagangan mata wang yang dijalankan oleh BNM. Boleh dikatakan beliau adalah pakar dari BNM dalam urusan dagangan mata wang, dan beliau terlibat secara langsung untuk berada dipihak yang salah semasa peristiwa  serangan ke atas mata wang Pound Sterling oleh speculator mata wang tahun 1992. Keputusan yang menyebabkan BNM dan negara kerugian billion ringgit. Maknanya, he knows how bitter forex is.

Tun Mahathir pernah katakan, " it is indeed a strange twist of history that this costly experience in the foreign exchange market provided Malaysia with knowledge and skill required to implement the selective exchange control regime to frustrate the currency trader and help the country's economic recovery"

Menurut Tan Sri Nor, 'costly experience' itu merujuk kepada kerugian yang ditanggung oleh negara dalam kesilapan berdagang mata wang oleh BNM. Tapi buku ini tidak pernah beritahu berapakah kerugian yang dialami oleh BNM ketika itu 🤢. Namun Tun Mahathir pernah beri tahu dalam buku beliau yang lain bahawa negara mengambilan masa 10 tahun untuk pulih dari kerugian BNM itu.

Buku ini sangat bagus untuk dibaca seluruh rakyat Malaysia. Supaya anda tahu:-
1. Tiada jalan mudah untuk berjaya.
2. Ilmu adalah penting jika mahu berjaya
3. jika anda ingin memenangi sesuatu pertandingan, anda harus belajar ilmu, cara dan syarat2 untuk pertandingan tersebut dan dan berlawan lebih baik dari orang lain
4. penting untuk tahu tidak salah untuk mengambil keputusan  berbeza dari orang lain atau tidak popular.
5. Buatlah cara Kita. Inikan negara kita, buat je cara kite. ( lagu faizal tahir)
<-- faizal="" lagu="" p="" tahir="">
Dilema orang Malaysia ialah kita tidak gemar membaca, lebih suka kepada gosip. Oleh itu mereka mudah diperlekehkan dan mudah sangat terbeli cerita sensasi. My two cent.
#startreadingmalaysian

Monday, February 6, 2017

The magic strings of Frankie Presto



Buku yang baik mengenai perjalanan hidup seorang seniman. Tentang tidak salah jika dalam hidup kita membuat kesilapan yang penting ialah kita tahu di mana kita harus kembali.

Setiap kesilapan harus ditebus. Setiap perbuatan samada baik atau buruk ada balasan.
Awal sangat memberi rumusan.

Kisah buku ini berkisar mengenai Francisco Rubio aka Francisco Presto. Dilahirkan semasa serangan ke atas sebuah gereja di Sepanyol.  Ibunya meninggal dunia dalam serangan itu. Dia kemudian dibesarkan oleh rahib yang menyamar sebagai ibunya untuk menyelamatkan diri.

Tetapi akibat tekanan rahib tersebut membuang Francisco ke dalam sungai dan dia diselamatkan oleh seekor anjing. Seterusnya Francisco dibesarkan oleh oleh pemilik anjing tersebut. Baffa Rubio. Malangnya ketika Francisco meningkat usia awal remaja Baffa Rubio telah difitnah dan dipenjarakan.

Demi menyelamatkan Francisco, Baffa meminta guru muzik anaknya membawa Francisco lari ke Amerika. Guru muzik tersebut buta, dia kemudian menghantar Francisco  bersendirian ke Amerika dengan menggunakan nama keluarganya iaitu Presto.
Francisco kemudian telah ditinggalkan oleh kelasi kapal di England dan duitnya dicuri. Berbekalkan sebuah gitar pemberian gurunya Francisco mengemis di England.

kemerduan petikan gitar Francisco telah menarik perhatian seorang pemain gitar gipsy. Beliau menawarkan Francisco untuk mengikutnya ke Amerika untuk membuat persembahan.

Sampai di America Francisco mengikut kumpulam ini hingga ke Detroit. Di sana dia Terpisah dari kumpulan ini selepas Cuba mencari ibu  saudaranya. Francisco kemudian dihantaar ke rumah Anak-Anak Yatim sebelum melarikan diri bersama anjingnya yang  tiba-tiba muncul dari Spain. Dia kemudian mendapat kerja sebagai pemain muzik disebuah kelab malam tanpa gaji sekadar diberikan makan. 

Francisco terus berkerja dan berkahwin dgn Aurora. sehinggalah dia berjaya menjadi Artis rakaman
dengan nama Frankie Presto. Namun menjadi artis bukanlah sesuatu yang mudah. Aurora meninggalkan Francisco sebelum dia berada dikemuncak kerjaya. Kemudian pengurusannya memaksa Francisco berkahwin dgn seorang artis wanita yang sedang popular untuk menyelamatkan kerjaya Francisco yang kian merudum.

Itu semua tidak menggembirakan Francisco. Dia kemudian bertindak meninggalkan pengurusnya dan bercerai sebelum kembali mencari Aurora. 

Walaupun dia gembira Aurora kembali dalam hidupnya. Namun kerjaya Francisco semakin merudum. Peristiwa isterinya diragut hingga keguguran memberi tamparan yang hebat. Francisco rasa bersalah dan malu kerana perbuatanya mereka kehilangan anak. Hari itu Francisco menghilangkan diri.

Malangnya Francisco telah cedera hingga tangannya dan tidak dapat bermain gitar. Lupa plak apa jadi.

Dia kemudian kembali mencari Aurora di London. Berhari-hari dia bermain gitar di jalanan untuk menampung hidup sambil menunggu Aurora muncul. Kisah Francisco mendapat perhatian BBC yang kemudian menyiarkan cerita beliau menunggu isterinya di kota London.

Aurora diberitahu oleh kakaknya tentang Francisco kemudian pergi menemui suaminya. Aurora setuju untuk kembali ke pangkuan Francisco dengan syarat mereka pergi jauh dari tempat yang penuh dengan kedukaan itu.

Mereka kemudian memilih untuk berpindah ke New Zealand. Di sana mereka mengambil anak angkat dan membina keluarga yg bahagia. Namun kegembiraan mereka terganggu dengan kehadiran sekumpulan artis muda dari Amerika yang cuba menjejaki Frankie Presto. Mereka  percaya terdapat satu RaKaman  petikan gitar Yang tidak diketahui pemiliknya adalah karya frankie presto.

Melalui Aurora kumpulan terse but Berjaya memujuk Francisco until merakamkan lagu bersama mereka. Francisco turut  memberi kan nasihat kepada artis mud a tersebut supaya membuat lagu mengikut minat bukan mengikut kehendak muzik semasa. Semasa di studio tersebut Francisco mengajar Anaknya bermain gitar dan memainkan pelbagai Janis lagu Tanpa  dia sedari ia telah dirakam oleh pemilik studio.

Selepas dipujuk francisco akhirnya mengaku rakaman petikan gitar yang diberikan oleh artis muda itu adalah hasil karyanya. Mereka memuji karya tersebut sebagai hebat. Namun menurut francisco ia adalah karya yang terhasil akibat kekecewaan dan kesedihan. Melodi tersebut terhasil pada malam Aurora keguguran dan sebelum dia diserang hingga federal ditangan. Francisco tidak berbangga dengan karya tersebut.

Kalau nak ceritakan sinopsis cerita ini amat pjg. Cukup kiranya saya katakan  buku ini berbaloi untuk dibeli. Kesudahan hidup yang baik juga. Mitch  albom sentiasa menulis buku2 yg baik. Saya suka. Yang menarik narratif penceritaan nya disampaikan oleh pihak ketiga. Iaitu muzik dan sesi temubual bersama Rakan-rakan artis semasa hari pengkebumian Francisco. Ia Kelihatan sedikit seperti Forrest gump tapi dalam gaya penceritaan m.albom.

Iya betul, ia adalah cerita balik belakang. ☺️😊
#norabagi5bintang

Catatan pendek untuk cinta yang panjang.


Senyum dulu. Manis betul buku ini.  Kadang-kadang terketuk batang hidung sendiri. Tapi cinta memang begitu adanya. Tak tahulah kenapa saya membeli buku ala-ala jurnal semasa di Indonesia. Yup ini pon buku dari penulis Indonesia.

Buku ini adalah hasil tulisan beliau di blog  yang kemudian dibukukan. Trend sgt sekarang buat buku dari tulisan di blog. Tapi sebab aku x pernah baca blog tersebut jadi aku beli.

Baiklah sedikit sinopsis, buku ini menulis tentang cinta. Tentang bagaimana jatuh cinta, kemudian bercinta dan akhirnya putus cinta. Juga tentang kekecewaan serta bila harus bangkit kembali dan cari cinta baharu. Menariknya gaya penulisan buku ini di penuh I dengan kata-kata syahdu dan asyik. Juga nasihat-nasihat utk yg bercinta.

Amboi player sungguh.

Kalau anda sedang berada dalam fasa percintaan yang mana pon mungkin buku ini sesuai utk korang.

Catatan seorang demonstran



ISBN: 9793330333
Penerbit : LP3ES

Merupakan diari seorang lelaki bernama Soe Hok Gie. Beliau merupakan seorang mahasiswa Universiti Indonesia dari fakulti Sastera yang giat dalam bidang politik. Juga salah seorang tulang belakang dalam demonstrasi jalanan mahasiswa Indonesia yang berjaya menjatuhkan Presiden Soekarno pada masa itu.

Catatan diari ini bermula dari zaman Gie masih dibangku sekolah. Menurut abang beliau Arief Budiman, menulis dan membaca memang menjadi hobi Gie. Hobi ini menjadikan Gie seorang yang sangat kritis dan analitik. 

Dan mungkin kerana itulah buku ini sangat menarik dibaca dan mudah dihadam. Kadang terlupa yang ia adalah sebuah diari.

Dalam diari ini Gie bukan sekadar menulis tentang kehidupan harian dan rakan-rakan beliau. Malah juga dipenuhi dengan pendapat peribadi,  idea dan harapan untuk bangsa Indonesia yang lebih baik.

Sayang banyak catatan asal dari diari ini dikatakan hilang. Ada juga yang terpaksa dikeluarkan bagi mendiamkan beberapa perkara yang mungkin akan menjejaskan mereka yang masih hidup.

Iya betul, Soe Hok Gie sudah meninggal dunia. Beliau meninggal pada usia yang sangat muda akibat terhidu gas beracun di Gunung Semeru. Kalau beliau masih ada masakan diari ini boleh dibukukan.

Sebuah buku yg sangat baik. Saya cadangkan dibaca. Ikhlas dan pedas. Baca buku ini dan lihat Indonesia yang hari ini, saya kira banyak yg ditulis oleh Gie masih sgt relevan. 

Bukan di Indonesia saja, kita di Malaysia pun boleh belajar banyak dari diari ini.

Ps --> Buku ini telah difilemkan. Pelakonnya Nikolas Saputra. Tapi sejujurnya dinasihatkan baca buku ini terlebih dahulu sebelum menonton filem Gie. Tak berbaloi melihat Gie dari sudut pandang sutradara. Dia lebih dari itu (saya kira).