Aku terjumpa buku ni waktu belek-belek buku di PNM. Buku kecil ini menarik perhatian aku. Ia diterbitkan pada tahun 1978 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan diselenggara oleh Pyan Hussain dan Ismail Ahmad. Sumpah aku tak tahu siapa.
Terdapat satu catatan ringkas pada buku ini yang berbunyi "Pada mereka yang menulis pada zaman ini, sama ada puisi-puisi mereka ditemui atau tidak, melalui kumpulan ini kami iringi ingatan abadi" Sayukan bunyinya.
Puisi zaman jepun banyak diterbitkan dalam majalah yang menyokong aliran Jepun seperti Berita Malai, Semangat Asia, Fajar Asia, Sinaran Matahari dan Suara Timur. Puisi-puisi yang dikumpulkan ini juga bersuara Jepun dan menyokong pendudukan Jepun di Malaya. Puisi propaganda.
Kumpulan puisi ini mengumpulkan 105 puisi antaranya ialah:
1. Dua Ribu Askar Menempuh Lembah Kematian Di Pulau Attu
2. Lengkongan Kemakmuran Bersama Di Asia Timur Raya
3. Permenungan Di Tengah Malam
4. Mendiang Laksamana Koga
5. Peperangan Asia Timur Raya
6. Singgalang Yama
7. Fajar Menyinsing
8. Kuat Sebagai Besi Waja
9. Bermenung
10. Hiduplah Malai Baru
Menurut Dr Mohammad Haji Salleh dan Drs Li Chuan Siu puisi zaman Jepun adalah pelopor kepada Puisi Moden Melayu.
Namun begitu terdapat juga beberapa puisi yang bersifat kebangsaan yang sembunyi-sembunyi Antaranya ialah:
1. Tanahairku
2. Di Atas Runtuhan Melaka Lama
3. Bahasa dan Bangsa
4. Ibarat Kebangsaan
5. Kenang-kenangan
6. Sinar Bahagia
7. Oh Bangsaku Di Muar
Mari aku belanja sajak dari buku ini satu atau dua, ikut rajin tangan menaip.
I Kenang-Kenangan (karangan Ros Melaka bertarikh 10/09/1942)
Ayuhai kaum umat Melayu
Lelaki perempuan semua diseru
Kecil besar lama dan baru
kaya miskin dikira satu
Ke seluruh Malaya seruan dihala
Kepada umat Melayu kita utamakan
Buat memimpin sekelian rakan
Moga-moga Kelak menjadi peringatan
Perasaan dengki harus dihapuskan
Tamak dan loba patut dijauhkan
Kerana ini punca keburukan
Tiada pula mendatangkan kebajikan
Ayuhai kaum di Malaya negeri
Lelaki perempuan muda bistari
Marilah kita bersatu hati
Majukan perniagaan bangsa sendiri
Inilah kali mula dibilangkan
Sinaran Matahari mula diterbitkan
Di negeri Melaka tempat pilihan
untuk bacaan kaum dan rakan
Patutlah kita bersatu fikiran
Mendoa umurnya kelak berpanjangan
Untuk memuhukan masa kelapangan
Supaya kelak menjadi kenang-kenangan
II Bahasa dan Bangsa (hasil karangan Muhammad Hassan Abdul Wahab bertarikh 24 Ogos 1942)
Dari mana dikenal bangsa
Ialah dari rupa bahasa
Dijunjung tinggi sepanjang masa
Kerana ia bertimbang nusa
Dengan bahasa bangsa berjaya
Dipandang tinggi serta mulia
Jika kita mencuaikan dia
Bangsa kita akan terpedaya
Oleh bahasa bangsa ternama
Disegani orang tidak percuma
Segala perkataan mahu saksama
Bahasa yang baik kita utama
Bahasa juga memegang kuasa
Buat mencemarkan nama bangsa
Jika kita buruk bahasa
Akhirnya kelak kita tersia-sia
Bahas boleh melemahkan pedang
Menewaskan musuh yang masih gadang
Bahasa pula bukan kepalang
Patutlah kita menaruh pandang
Oh bahasa, kamulah senjata
Kepada kamu aku bercinta
Dengan kamu aku meronta
Buat menjaga bangsa dan nusa
**bila kenangkan nasib bahasa Melayu hari ini sedih rasanya. seronokkah menjual bangsa?
Tuesday, February 14, 2017
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment