Tuesday, February 14, 2017

Puisi-Puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang

Selepas menulis pasal Yang Nakal-Nakal aku teringat sebuah buku yang pernah aku baca. Puisi -Puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang. Buku ini buku lama, diterbitkan pada tahun 1987 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Terdapat 133 sajak karangan Usman Awang dimuatkan dalam antologi puisi ini. Hasil tulisan beliau dari tahun 1949 hingga 1984.

Buku ini juga memuatkan satu artikel tulisan Muhammad Hj Salleh bertajuk Usman Awang: Pemula dan Penyambung. Menurut artikel ini ada tiga unsur yang menjadikan Usman Awang penyair yang penting dalam perkembangan puisi Malaysia;
1. pemikirannya yang peka terhadap masalah yang dihadapi rakyat terbanyak;
2. puisinya berjejak pada tanah subur kesusasteraan tradisional; dan
3. cara Usman Awang melentur bahasa Melayunya dari merdu pantun hingga ke sinis kota

Selain itu turut dimuatkan Laporan Panel Anugerah Sastera tahun 1983 laporan yang melayakkan Usman Awang mendapat anugerah Sasterawan Negara. Dalam laporan ini juga menyentuh tentang kehebatan Usman Awang bermain dengan kata dan prosa bahasa Melayu.

Menurut laporan ini, konsep puisi Usman Awang sangat bergantung kepada prinsip bahawa bahasa bersopan santun, berukur dan harus terkawal. Citarasanya yang halus pula akan mampu membimbing penyair untuk mencapai bahasa yang dianggap unggul itu.

Antara sajak yang dimuatkan dalam buku ini ialah:
1. Balada Terbunuhnya Beringin Tua Dipinggir Bandaraya
2. Surat Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar
3. Beli Buatan Malaysia
4. Surat Dari Pusara
5. Malam Di Balai Budaya
6. Anak Jiran Tionghua
7. Gadis Di Kuburan
8. Jiwa Hamba
9. Pelacur Tua
10. Ke Makam Bunda
11. Keranda 152
12. Dato' Onn

Mari sini nak belanja salah satu (banyak sgt yg suka) sajak yang paling aku suka dari antologi ini.

Politik

Bertapa kita boleh dipisahkan?
Langit tua dan sejarah yang hitam,
Dunia kita yang saling bertentangan,

Siapa di antara kita yang dituduh pengkhianat?
Siapa pula yang nanti mengukur hakikat,
Sedang manusia serba lemah kesempurnaan kudrat?

Bertapa persaudaraan telah musnah dan jahanam,
bukan sekadar kata carik-carik bulu ayam,
Kerana kesucian tujuan ditangan manusia terhumban,

Hitunglah sejak  Adam meninggalkan syurga,
Berapa zaman sudah memagut usia dunia,
Kita semakin jauh hanyut dalam arus sengketa,

Manusia seperti bintang-bintang bertebaran dilangit,
Dunia serupa bulan bulat sekadar satu cuma,
Mengapa kita kehilangan daya membancuh warna,
Seperti bintang mengilau cahaya ke bulan purnama?

Berlagulah diserunai hayat yang senafas hirup,
Nyanyian persaudaraan dalam batin yang harus hidup,
Meski antara kita faham-faham berlainan terpaut.

1959

0 comments:

Post a Comment