Tidak ada apa yang kontroversi dalam buku ini. Ia adalah buku pendidikan Islam yang diterbitkan oleh Utusan (M) Sdn Bhd. Walau pun saya dikerling berkali-kali kerana membaca buku ini tempat awam.
Agama Islam dari dahulu menegaskan bahawa Nabi Isa a.s adalah seorang manusia yang diangkat martabatnya oleh Allah sebagai Rasul. Semua orang Islam wajib menghormati dan menyayangi Nabi Isa a.s seperti mana Nabi Muhamad dan nabi-nabi yang lain. Tetapi adalah haram untuk menyembah beliau atau mana-mana nabi Allah yang lain.
Buku ini ditulis oleh saudara Ahmad Muhammad Abd. Ghaffar. Diterbitkan pada tahun 2010. Kecil sahaja dan dibahagikan kepada enam bab iaitu tentang Maryam ibu kepada Nabi Allah Isa a.s, Kelahiran Nabi Isa a.s, Kerasulan Nabi Isa a.s, bagaimana Nabi Isa a.s dinaikkan ke langit, bila dan dimana Nabi Isa a.s akan diturunkan ke bumi dan Kewafatan Nabi Isa a.s.
Turut dimuatkan kisah Nabi Zakaria a.s dan Nabi Yahya a.s yang merupakan saudara kepada Maryam dan Nabi Isa a.s. Juga kisah Imam Mahdi yang akan berjuang bersama-sama Nabi Isa a.s di akhir zaman untuk mempertahankan agama Islam dan menyelamatkan orang-orang muslim.
Menurut buku ini nama dan gelaran Nabi Isa Al Masih adalah berasal dari perkataan Ibrani iaitu Yasyu' Masyikha. Yasyu' membawa maksud Juru Selamat. Juru Selamat dalam bahasa Arab ialah Isa dan dalam bahasa Yunani ialah Yesus. Masyikha atau Massiah bermaksud 'yang disapu dengan minyak'. Yang mana dalam bahasa Arab Masyikha bermaksud Masih dan dalam bahasa Yunani disebut Khritos.
Oleh itu dapat disimpulkan Yasyu' Masyikha atau Isa Al Masih atau Yesus Khritos (yang juga disebut sebagai Jesus Christ dalam loghat Inggeris) membawa maksud Juru Selamat yang disapu dengan minyak dan merujuk kepada orang yang sama. Malah gelaran Al Masih juga digunakan dalam firman Allah dalam Surah Ali Imran 3: 45 yang bermaksud "Nama anak itu ialah Al Masih Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat"
Kenapakah Nabi Isa digelar Al Masih atau disapu dengan minyak? Menurut Bani Israel raja-raja mereka akan disapu dengan minyak suci. Mereka juga tahu bahawa selepas kematian raja-raja mereka iaitu Nabi Daud dan Nabi Sulaiman akan lahir seorang lagi nabi atau raja dalam kalangan Bani Israel yang akan mengembalikan kegemilangan Bani Israel. Menurut agama Kristian Nabi Isa Al Masih adalah raja yang ditunggu-tunggu oleh Bani Israel itu.
Buku ini turut menjelaskan tentang Kaum Hawariyyun. Mereka adalah penolong Nabi Allah Isa a.s. Mereka juga kaum yang memperjuangkan ajaran Nabi Isa a.s hingga tibanya Nabi Muhammad dan pengikut Kaum Hawariyyin adalah golongan ahli kitab yang apabila menerima perkhabaran tentang Nabi Muhammad dan Islam mereka pun memeluk Islam seperti yang diajarkan oleh Nabi Isa a.s.
Al Quran tidak pernah memberitahu berapakah bilangan kaum Hawariyyun tetapi menurut kitab Injil bilangan mereka ialah 13 orang iaitu Sam'un bin Batris, Andrayus, Yohanna, Yakkub, Matta, Tomas, Philipus, Petrus, Yakkub bin Halfi, Labawas, Sam Al'Qanun dan Yahuza Ascariot.
Di dalam Islam Kaum Hawariyyun diangkat martabatnya dan orang muslimin harus menuruti teladan yang ditunjukkan oleh mereka. Di dalam Al Quran Allah berfirman dalam Surah As-Saff 61:14 "Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu sebagai pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa bin Maryam (ketika dia) berkata kepada kaum Hawariyyin (para penyokongnya): 'Siapakah akan menjadi penolonh-penolongkukepada jalan Allah? para penolong itu menjawab: 'Kamilah para pembela agama Allah' Maka segolongan Bani Israil beriman dan segolongan lagi menjadi kafir. Maka kami memberikan pertolongan kepada orang-orang yang berimam untuk mengalahkan musuh mereka, maka jadilah mereka sebagai orang-orang yang menang'"
Mereka terus menyebarkan ajaran asal Nabi Isa selepas
Nabi Isa diangkat Allah ke langit apabila Kaum Yahudi dalam kalangan
Bani Israil menangkap dengan niat untuk membunuh Nabi Allah. Allah berfirman dalam Surah An Nisaa' 4:147 "Dan juga (disebabkan) perkataan mereka "Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa ibni Maryam, Rasulullah" Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya., tetapi orang yang diserupakan seperti Nabi Isa"
Kaum Muslimin wajib meyakini dan menunggu ketibaan Nabi Allah Al Masih Isa ibni Maryam yang akan menjadi penyelamat kita semua seperti yang dijanjikan oleh Allah dalam Al Quran Surah Az Zukhuf 43:61 "Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang (hari kiamat) itu dan ikutlah (petunjuk) Ku; inilah jalan yang lurus"
Nabi Muhammad juga memberitahu keinginannya untuk bertemu Nabi Isa a.s marfumnya "Sesungguhnya aku berharap agar umurku panjang agar dapat berjumpa dengan Isa bin Maryam. Tetapi jika maut lebih dahulu menjemputku, maka barang siapa yang berjumpa baginda, sampaikanlah salamku kepadanya" (Riwayat Imam Ahmad).
Juga diterangkan tentang asal usul Triniti. Tapi pasal ini saya malas mahu tulis, sila baca sendiri. Tak rugi membaca buku-buku yang baik dan menambah ilmu dan penjelaskan kekeliruan. Semoga kita semua berada dalam pertolongan Allah SWT dan mati dalam agama Islam insyaAllah.
Thursday, May 11, 2017
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment