Thursday, May 11, 2017

Perempuan Anggerik

Ini adalah kumpulan cerpen oleh Faizal Tehrani, saya sedikit teragak-agak untuk membaca buku tulisan beliau sementelah Faizal Tehrani ini terkenal dengan buku-buku berunsur Syiah dan banyak buku-bukunya yang telah diharamkan oleh JAKIM dan KDN.

Tetapi pesan seorang rakan dia sudah selalu membaca buku-buku Faizal Tehrani, kata rakan saya itu dia tidak pernah jumpa sebarang yang Syiah dalam buku Faizal ini. Hati dan akal saya bisikkan, masakan JAKIM buat silap. Tapi saya senyum dan kata baiklah, nanti aku beli dan baca sendiri. Betul juga nasihat dia jangan mudah percaya tanpa mencuba.

Berbalik pada buku Perempuan Anggerik, Jujur saya akui Faizal Tehrani seorang penulis yang hebat, sudah lama tidak membaca karya baharu dengan pembendaharaan kata yang mewah. Silap hari bulan baca cerpen sebelah kamus, sebab ada beberapa perkataan yang tidak pernah saya dengar sebelum ini. Beginilah baru satu-satu karya itu mendidik pembacanya.

Jujur cerpen-cerpen dalam kumpulan ini segar dan berbeza dari banyak cerpen yang pernah saya baca sebelum ini. Buku ini menghimpunkan 17 cerpen tulisan Faizal yang pernah diterbitkan dalam pelbagai majalah antaranya Utusan Zaman, Dewan Budaya dan saksi.com. Antara cerpen yang dimasukkan ialah Perempuan Anggerik, Galau seorang Guru, Surat Untuk Gabe 1 dan 2 juga Ayu Prastika. Saya gemar cerpen Galau Seorang Guru, sebab pernah jadi guru di kawasan elit Kuala Lumpur, jadi saya faham betapa risau, rimas dan lemas menjadi guru mereka..

Faizal juga suka menyentuh perihal sosial yang sering terlepas pandang oleh arus perdana. Juga bercerita dari sudut pandang orang ketiga dalam menyentuh peristiwa-peristiwa sejarah. Sama ada dia berpihak pada yang kiri atau kanan  tak perlu diungkit bangkit, saya kira karya Faizal itu sendiri kaya dan tinggi nilai sasteranya.

Tidak adil membandingkan Faizal dengan Usman Awang, mereka hidup pada era berbeza dan mendepani isu sosial yang berlainan. (ini nasihat untuk diri sendiri -->; saya pengagum Usman Awang).

Memang betul kata kawan saya tidak ada yang Syiah dalam kumpulan cerpen ini. Tapi ia tetap tidak mengubah pendapat saya, yang Faizal ini condong kepada Syiah. Sebab realitinya saya pernah baca pendahuluan yang sangat Syiah yang ditulis oleh Faizal Tehrani untuk buku berjudul "sekolah bukan penjara, IPT bukan kilang" jika tidak salah begitulah judulnya.

Betul! Saya bila baca buku akan dari Kulit ke Kulit, malah CIP pada buku pun saya akan lihat untuk ambil tahu maklumatnya. Maklumat seperti tahun terbitan, terbitan siapa dan kategori apakah buku itu dikelaskan dalam katalog antarabangsa. 

0 comments:

Post a Comment