Wednesday, December 11, 2019

Tetralogi Bumi Manusia (Kuartet Pulau Buru)

ISBN : -
Penerbit : Lentera Upentare
Penulis : Promedya Anantar Toer
Kuartet:
1. Bumi Manusia
2. Anak Semua Bangsa
3. Jejak Langkah
4. Rumah Kaca

Buku ini kali pertama saya baca di Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah. Sukar betul membacanya sebab ia menggunakan bahasa Indonesia yang beberapa perkataan Jawa yang memang saya tak pernah dengar. Buku ini tebal juga, tapi cinta saya pada sastera lebih tebal. Jadi saya gagah baca sampai habis. (ahh ini poyo)

Disebabkan kali terakhir saya baca buku ini ialah pada tahun 2002 atau 2003 banyak yang saya sudah lupa hingga pada beberapa tahun lepas saya ke Indonesia dan terjumpa dengan buku ini kedai buku di Pasar Senen. Jadi saya borong keempat-empat buku dari tetralogi ini.

Saya kira buku yang saya beli sedikit berbeza dengan buku yang dibaca di Perpustakaan UMS. Jika di UMS dulu terdapat banyak perkataan jawa, pada buku yang saya beli hampir semua perkataan jawa itu telah diubah ke bahasa Indonesia. Mungkin untuk memudahkan pembacaan. Walau pun ia tetap sukar bagi saya yang hanya  mahir bahasa Melayu ini.

Buku ini berkisar tentang putera seorang Bupati Jawa bernama Raden Mas Minke. Minke diceritakan mendapat pendidikan Belanda dan juga seorang yang amat pandai sastera dan rajin menulis di akhbar-akhbar dan majalah-majalah Belanda. Dia seorang yang sangat mahir bertutur dalam bahasa Jawa, Melayu dan Belanda. Kehidupan minke berubah selepas dia dibawa oleh seorang sahabatnya ke rumah sebuah keluarga Belanda kaya yang tinggal berdekatan dengan tempat mereka belajar. Apabila tiba di sana minke mendapati rumah itu diketuai oleh seorang perempuan Jawa bernama Nyai Ontosoroh. Minke berkenalan dengan keluarga tersebut dan kemudian jatuh cinta dengan anak Nyai Ontosoroh, Anne.

Minke kemudian berkahwin dengan Anne, malangnya kemudianberlaku campur tangan Belanda yang mengisytiharkan perkahwinan mereka tidak sah mambawa Anne kembali ke Belanda. (Kisah disini mungkin terinspirasi dari kisah Natrah yang berlaku di Terengganu dan kisah Nyai pertama di Surabaya yang bangun menentang keluarga tuan Belandanya di mahkamah)  Minke dan Nyai Ontosoroh melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan kembali Anne, namun usaha mereka sia-sia.

Anne akhirnya mati tersiksa di Belanda kerana terlalu rindukan keluarganya di Jawa. Ia memberi pukulan kepada Minke. Namun dia harus berterima kasih pada Nyai Ontosoroh yang kuat dan cekal menghadapi ujian hidup. Ibu mertuanya menjadi tunjang untuk dia kembali berdiri. Dalam buku 1 banyak menyorot kisah kekuatan Nyai Ontosoroh sebagai seorang wanita, perempuan simpanan, ketua ladang dan ibu.

Minke yang kecewa mula mengembara keseluruh Jawa, ini buka mata beliau mengenai penindasan yang berlaku pada peribumi. Dia berkenalan dengan ramai orang dan belajar mengenai kesusahan hidup. Ia mengajar Minke erti keadialan dan menyemarak semangat nasionalisnya. Minke seorang yang terpelajar menggunakan kemahirannnya menulis ke akhbar dan majalah untuk meniup semangat kebangsaan.

Minke turut berkenalan dengan persatuan-persatuan dari luar negara yang berusaha menuntut kemerdekaan dan menghalang penjajahan oleh kuasa Eropah. Minke juga melihat permainan kuasa Eropah dengan memperkenalkan teknologi dan budaya baru kepada peribumi hingga mereka begitu kagum dengan kejutan budaya. Semuanya ditulis oleh Minke bagi menyedarkan rakyat peribumi.

Selain itu Minke juga rajin berpersatuan untuk menuntut kemerdekaan dan mendidik rakyat peribumi. Tindakan Minke tidak disenangi Belanda. Akhirnya Minke ditangkap dan dipenjarakan. Sepanjang dipenjara Minke berkenalan dengan Pangemanan, seorang pegawai Belanda yang ditugaskan untuk brainwash banduan-banduan seperti Minke agar kembali taat kepada Belanda. Namun usaha Belanda tidak berhasil. Sebaliknya Pengemanan menjadi teman yang baik pada Minke dan menjadi pengagum beliau. Kisah Minke berakhir dengan kematiannya di penjara dan kekesalan Pangemanan.

Sinopsis habis. Tapi ini sedikit sahaja dari kisah Minke, buku ini tebal dan ada 4 jilid. Ia menyorot kisah sejarah perjuangan awal peribumi menentang Belanda di Indonesia. Terdapat nama beberapa tokoh pejuang Indonesia dimasukkan dalam novel ini. Kerana kesan novel ini sangat besar dan terlalu berterus terang, ia telah diharamkan oleh Belanda dan Republik Indonesia beberapa kali.Kini ia tidak lagi digam kerajaan. Penulisnya juga telah meninggal dunia.

Zaid




0 comments:

Post a Comment